Salah satu komplikasi hamil ialah mengandung di luar rahim. Ini
terjadi apabila telur yang tersenyawa membuat implantasi di luar rahim.
Kebanyakkan berlaku di dalam salur fallopian itu sendiri (>50%).
Itulah sebabnya kandungan luar rahim juga dipanggil kandungan tubal
(tubal pregnancy).
Tempat-tempat lain termasuklah ovari, serviks
dan dalam ruang abdomen. Apabila janin membesar di tempat yang tidak
sepatutnya,ia boleh pecah dan menyebabkan pendarahan. Ini boleh
mengancam nyawa dan memberi kesan kepada tahap kesuburan anda.Sebab
itulah sangat penting untuk wanita mengenali gejala dan tanda awal
kandungan luar rahim ini kerana ia boleh menyelamatkan nyawa anda.
Gejala dan Tanda
Tanda-tandanya agak sama dengan keguguran
biasa menyebabkan ramai wanita tidak begitu perihatin dan menganggap ia
sesuatu yang ringan. Tanda-tandanya ialah:
- Haid yang lambat
- Pendarahan kecil selalunya berwarna coklat.
- Ujian kehamilan positif
- Pening-pening
- Sakit pada bahagian bawah perut
- Sakit pada bahu
- Sakit yang tajam menikam adalah tanda serius yang boleh menunjukkan yang anda mengalami kandungan luar rahim.
Sekiranya gejala begini berlaku, berjumpalah dengan doktor anda secepat mungkin.
Risiko untuk kehamilan luar rahim
Risiko yang paling penting
yang menjurus kepada kehamilan diluar rahim ialah salur fallopian yang
rosak. Anda berisiko tinggi sekiranya anda mempunyai keadaan dan pernah
menjalani prosedur yang melibatkan salur fallopian. Jangkitan kuman dan
surgeri pada pelvis meninggikan risiko anda untuk mendapatnya.
Pembedahan ikat atau tubal ligation juga boleh menambahkan risiko
mengandung luar rahim.Lain-lain faktor yang meninggikan risiko anda termasuklah:
- Sekiranya anda mempunyai kandungan luar rahim sebelumnya.
- Sekiranya anda pernah mengalami radang pelvis
- Sekiranya anda pernah mendapat rawatan kesuburan
- Sekiranya anda mengalami endometriosis
- Sekiranya anda mengamal IUD sebagai alat kontrasepsi.
Diagnosa
Sekiranya
anda mengalami gejala dan tanda (symptom) seperti di atas, doktor akan
membuat beberapa ujian seperti ujian air kencing untuk mempastikan
samada anda benar-benar hamil atau tidak. Sekiranya positif, ujian hCG
akan dibuat dan membandingkan tahapnya dengan umur sebenar kandungan
anda. Jika tahapnya rendah dari yang sepatutnya ada kemungkinan anda
hamil di luar rahim.
Doktor juga akan melakukan pemeriksaan pelvis
dan cuba penilaian mana yang tidak normal. Ujian ultra-bunyi juga
penting dan sekiranya terdapat tanda seperti pendarahan dan karung di
luar rahim, berkemungkinan besar anda hamil di luar rahim. Walau
bagaimanapun, kadang-kadang tanda-tanda ini tidak begitu jelas dan ini
boleh memberi kepada diagnosa yang salah.
Rawatan
Sekiranya
dikesan peringkat awal, rawatan adalah mudah. Ubat yang dinamakan
methotrexate akan disuntik ke dalam karung untuk mencairkannya dan
membiarkan badan menyerap kandungan tersebut secara semulajadi. Tapi
sekiranya kandungan sudah terlalu besar, pembedahan membuang kandungan
ini akan dilakukan. Amat penting adalah wanita perlu mendapatkan rawatan
serta-merta kerana sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan
kematian.
Harapan kehamilan pada masa depan
Ramai wanita
yang pernah mengalami kehamilan di luar rahim bimbang tentang peluang
untuk hamil secara normal terjejas. Sesungguhnya kehamilan luar rahim
boleh meninggikan risiko untuk mendapat komplikasi yang sama pada masa
hadapan. Tetapi ramai juga di antara wanita ini yang berjaya hamil
seperti biasa dan mendapat anak setahun selepas itu.
Sekiranya
sistem peranakan rosak dengan teruk, samada disebabkan oleh kehamilan di
luar rahim atau pembedahan untuk merawatnya, kesuburan anda mungkin
terganggu. Berbincanglah dengan doktor anda tentang peluang anda untuk
hamil.
Sumber :
http://portal.alamhamil.com/artikel-kehamilan/masalah-hamil/150-kehamilan-luar-rahim.html